Kami gagal jaga Sumareh -- Mohamad

Oleh Tengku Danish Bahri 13 Julai 2019 3396
Kami gagal jaga Sumareh -- Mohamad
Penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik, mengakui gol penyamaan Pahang malam tadi adalah berpunca kesilapan barisan pertahanannya.

Menurutnya, kegagalan bek tengah, Nasrullah Haniff Johan, mengawal Mohamadou Sumareh telah membenarkan penyerang kebangsaan itu menjaringkan gol buat Pahang.

Jaringan itu tercipta lima minit sebaik babak kedua bersambung, sekali gus memadamkan gol pembukaan pemain sayap TFC, Ahmad Syamim Yahya, pada minit ke-42.

Mohamad, begitupun, tidak menganggap ketiadaan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang tercedera melonggarkan barisan pertahanannya.

"Tahap permainan Muhammad (Mohd Fauzi) lebih kurang sama dengan Amirzafran. Saya lihat dia sudah memberikan yang terbaik.

"Jaringan Pahang itu adalah kesilapan pertahanan yang membenarkan penjaring gol berpusing dan melepaskan rembatan," katanya.

Sementara itu, Mohamad tetap berpuas hati dengan aksi TFC menutup saingan Liga Super di tempat sendiri walaupun sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir.

Bekas pemain tengah negara itu menyifatkan TFC beraksi baik ketika seri 2-2 dengan Kedah, Selasa lalu selain mengikat mengikat Pahang 1-1, semalam.

Malah, tahap keyakinan pasukan juga jelasnya semakin meningkat untuk melengkapkan tirai Liga Super bertemu juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, minggu depan.

"Saya mahukan yang terbaik daripada pemain. Melihat kepada persembahan dan keputusan, saya cukup berpuas hati," kata Mohamad lagi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen