Itu luahan perasaan yang dikongsi jurulatih sementara Terengganu, Nafuzi Zain, selepas tonggak pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris, sekali lagi ditimpa kecederaan serius apabila mengalami keretakan pergelangan kaki.

Amirzafran sebelum ini ditimpa kecederaan paling ngeri untuk pemain bola sepak, iaitu ligamen lutut ACL, ketika kempen Piala Malaysia musim lalu.

Ia menyebabkan pemain berusia 25 tahun itu terpaksa berehat selama hampir sembilan bulan sebelum kembali beraksi sepenuhnya bulan lalu.

Namun, nasib ternyata tidak menyebelahinya apabila kembali dilanda kecederaan serius dalam perlawanan Liga Super menentang Pahang, malam tadi.

"Dia memerlukan rehat sekurang-kurangnya tiga bulan lagi selepas mengalami kecederaan. Dia merupakan watak penting buat pasukan," kata Nafuzi.

Amirzafran ketika ini sedang menerima rawatan lanjut di sebuah hospital pakar di Kuala Terengganu dan dijangka menjalani pembedahan.

Kehilangannya memberi tamparan hebat buat Terengganu, yang dijangka akan menyerapkan seorang pertahanan daripada pasukan Terengganu II bagi mengisi kelompongan di bahagian berkenaan.

"Terdapat beberapa rundingan yang dilakukan semalam. Kami akan cuba menyusun semula pasukan dan bakal menyerapkan salah seorang pertahanan daripada skuad Terengganu II," kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.