Ketua pasukan PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, mahu rakan sepasukan mempamerkan aksi terbaik menentang jiran tetangga, Perak, dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam esok.

Laungan ini berdasarkan pengalaman ketika bertemu Perak dalam aksi pusingan pertama di Stadium Negeri Batu Kawan walaupun PKNP tewas 2-1.

"Kami terlalu hormat pasukan Perak. Maklumlah mereka lebih senior dan pemain negeri. Bila dilihat kembali, kedua-dua gol jaringan Perak adalah daripada kesilapan kami juga.

"Tetapi kali ini saya dan pasukan yakin dan mahu membuktikan sesuatu. Saingan kali ini lebih terbuka. Apa yang pasti kami akan beri saingan," balas Shahrel Fikri.

Tambahnya, dua pemain import yang dibawa masuk, iaitu penyerang, Karl Max Dany dari Chad dan pertahanan, Kim Sang Woo dari Korea Selatan mampu menggalas tugas dengan lebih baik.

"Ya, saya akui dan yakin jika mereka dapat beraksi, mampu memberi impak yang besar kepada pasukan. Namun, esok penampilan sulung mereka dalam liga. Kita lihat macamana. Kami pun, ini perlawanan pertama dalam bulan Ramadan setelah perlawanan menentang Selangor dibatalkan," ujarnya.