Jurulatih skuad Selangor, B. Sathiananthan, menempelak kegagalan persatuan dan kelab yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan jurulatih, sekali gus mencalar status profesional Liga Malaysia.

Isu meruncing itu memberi kesusahan kepada pemain dan jurulatih ketika saingan Liga M sudah memasuki era profesional, namun masih terdapat lagi sesetengah kelab dan persatuan yang masih selesa dengan cara amatur.

"Jika tidak mampu, beraksi sahaja dalam liga amatur. Jangan masuk dalam golongan profesional. Semua pihak harus bersifat profesional, termasuk dalam bidang pengurusan," kata Sathianathan.

Isu terkini yang turut terpalit namanya hanya mampu diselesaikan dengan pemberian geran daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Walaupun ada alternatif untuk menyelesaikan isu itu, Sathianathan tetap melahirkan kebimbangan apabila geran yang sepatutnya menjadi perbelanjaan pasukan bagi musim 2019 tidak digunakan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan.

"MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM akan mencari jalan untuk menyelesaikan perkara ini. Jujur saya katakan, ketika saingan Liga Malaysia berstatus amatur, ia telah dikendalikan dengan lebih baik (dalam bidang pengurusan) berbanding sekarang."