Penjaga gol muda Petaling Jaya (PJ) City FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, sudah bersedia untuk merebut posisi dalam kesebelasan utama setelah menjadi tonggak yang membantu kemenangan berharga ke atas gergasi selatan, Johor Darul Ta'zim (JDT), di Larkin, kelmarin.

Ia merupakan perlawanan keduanya dalam liga selepas diturunkan menentang Selangor, Sabtu lalu, yang berkesudahan tewas 0-3.

Namun, Kalamullah tampil dengan prestasi berbeza apabila mampu menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi jentera serangan JDT untuk mempertahankan kedudukan 1-0 hasil jaringan Washington Brandao sehingga wisel penamat.

"Terkejut jugalah (apabila diturunkan) memandangkan sudah lama saya tidak beraksi.

"Apabila diberikan oleh jurulatih, saya berikan aksi yang terbaik," katanya.

Jurulatihnya, K. Devan, merumuskan: "Dia beraksi dengan begitu cemerlang, dia masih muda dan saya yakin dia akan berjaya (dalam karier)."

Bekas anggota skuad Felda United itu yakin mampu untuk merebut posisi nombor satu dalam baki perlawanan Liga Super menentang skuad PKNP FC, Ahad ini, dan seterusnya bersiap sedia untuk menghadapi saingan Piala Malaysia

"Saya masih lagi berasa sedikit gugup kerana baru dua kali saya diberi peluang beraksi tetapi rakan sepasukan dan jurulatih sering memberikan semangat," kata Kalamullah.