Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terpaksa menamatkan kontrak lima pemain yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama serta menilai semula barisan pemain sedia ada sebelum pintu perpindahan pemain dibuka Mei ini.

Kesemua pemain tersebut mencapai kata sepakat dengan KAFA untuk ditamatkan kontrak lebih awal selepas beberapa kali diberi amaran bertulis supaya meningkatkan prestasi masing-masing.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Illias Khan, berkata pihaknya terpaksa melepaskan pemain berkenaan bagi membolehkan mereka mendapat peluang beraksi bersama pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) selain membantu mengurangkan beban kewangan persatuan itu.

"Kita terpaksa melakukan tindakan tersebut dan pemain perlu memahami pihak pengurusan dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan dan mengurangkan beban kewangan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata keputusan menamatkan kontrak pemain terbabit dibuat selepas mendapat pandangan dan penilaian ketua jurulatih baru, Fajr Ibrahim, bekas jurulatih kebangsaan Syria yang dilantik minggu LALUselaku pengarah teknikal KAFA dan diberi kuasa sepenuhnya untuk membentuk semula TRW bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini.

Antara lima pemain tersebut ialah pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga, bekas pemain PKNP FC, Sukri Abd Hamid dan pemain keturunan Siam, Kedah, Hattaphon Bun An.

Untuk rekod, KAFA memecat jurulatih kelahiran Thailand, Sathit Bensoh, selepas tiga perlawanan awal Liga Super kerana gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan tanggungjawab itu dipangku oleh Yusri dalam dua perlawanan seterusnya.

Selepas lima perlawanan Liga Super musim ini, Kelantan menduduki tangga kedua tercorot dengan memperoleh empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan selain gagal ke suku akhir Piala FA.

-- BERNAMA