Julian sah bergelar pemain JDT 

Oleh Bernama 18 Julai 2019 40497
 Julian sah bergelar pemain JDT 
Pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Julian Johan Bechler, secara sah diumum sebagai pemain baru Johor Darul Ta'zim (JDT) menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Penjaga gol berusia 17 tahun itu akan diserap masuk ke dalam pasukan JDT III.

Julian menerusi akaun Instagram menyatakan rasa gembira apabila dapat menandatangani kontrak profesional pertama dalam kariernya dan mengucapkan terima kasih di atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Ia merupakan satu perjalanan yang panjang sehingga sekarang tetapi ia hanya satu permulaan. Saya mahu memberikan yang terbaik daripada diri saya untuk kelab dan juga persekitaran yang baru untuk saya.

“Saya akan berusaha dan memperbaiki prestasi saya sebagai seorang pemain bola sepak dan saya juga seorang yang optimistik. Lagipun, saya benar-benar mahu mencapai kesemua sasaran yang telah ditetapkan untuk diri sendiri dan juga kelab. Saya mahu mengalami dan mengatasi kesemua cabaran dan halangan yang akan dihadapi,” katanya.

Julian merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman yang menetap di Frankfurt dan pernah beraksi bersama skuad B-19 kelab Tus Hornau.

Sebelum ini, Julian pernah menghadiri sesi pemilihan skuad kebangsaan bawah B-19 yang ketika itu dikendalikan bekas jurulatih, Bojan Hodak, namun gagal mewakili negara kerana tiada kad pengenalan Malaysia.

Ibu Julian, Datuk Nooraini Anne Bechler, merupakan rakyat Malaysia dan ini melayakkannya untuk menyarung jersi skuad kebangsaan secara automatik.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen