Pemain tengah Selangor, Joseph Kalang Tie, malu dengan kelibat pemain berpengalaman, Amri Yahyah, yang tidak meletakkan umur sebagai had untuk terus mempamerkan aksi bertenaga dalam setiap perlawanan.

Menjadi perancang di bahagian tengah Selangor, Joseph mengakui dia terpukul dengan kredibiliti yang ditonjolkan Amri.

Melabelkan ia sebagai persaingan positif, Joseph mengakui dia perlu memberikan penekanan dalam setiap latihan kerana tidak mahu dirinya yang lebih muda dijadikan perbandingan dengan Amri yang enam tahun lebih berusia daripadanya.

"Dia banyak membantu saya dan saya juga malu dengan diri sendiri, kenapa saya tidak sekuat dia. Jadi, saya perlu bekerja keras lagi," kata Joseph.

Menjelang aksi dengan Selangor, Joseph tidak rela kegagalan di Kuala Terengganu (tewas 4-1 kepada Terengganu FC) berulang di laman sendiri ketika berdepan Pahang hari ini.

Berdepan bekas pasukannya pada musim lalu, Joseph melaungkan amaran bahawa Selangor perlu berwaspada bukan hanya berdasarkan kredibiliti pihak lawan tetapi aura yang bakal dipamerkan skuad Tok Gajah.

"Pahang merupakan bekas majikan saya. Mereka mempunyai ramuan tersendiri musim ini dengan memiliki beberapa pemain bagus. Tetapi, kami harus fokus terhadap diri sendiri dan kurangkan kesilapan."