Tonggak baru Selangor, Joseph Kalang Tie, mengakui tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama Gergasi Merah musim ini selepas bebas daripada kecederaan menjelang pertemuan Liga Super menentang Pahang di Stadium KLFA, Cheras, Sabtu ini.

Joseph yang menyertai Selangor dari Pahang masih belum membuat kemunculan ekoran kecederaan lutut semasa pra-musim Disember lalu sehingga diketepikan daripada tiga perlawanan pertama liga.

Bagaimanapun, dia kini sudah pulih sepenuhnya dan bersedia diturunkan menghadapi Pahang di laman sendiri.

"Saya ibarat cacing kepanasan, kalau boleh saya nak masuk ke padang untuk membantu pasukan biarpun hanya sumbangan kecil," katanya.

Kehadiran bekas pemain Terengganu dan Sarawak itu tampak mampu menguatkan lagi jentera tengah menyerang yang turut dibarisi pemain import sensasi Indonesia, Evan Dimas.

Skuad P. Maniam itu cemerlang mengharungi dua perlawanan dengan nota kemenangan, namun gagal mengekalkan momentum apabila dibelasah 4-1 oleh Terengganu dalam aksi terakhir.

"Saya menghormati Pahang kerana pernah bermain di sana.

"Tetapi saya kini menyarung jersi Selangor, kalau diberi peluang saya akan bermain bermati-matian," katanya lagi.