'Beri saya masa sebulan'. Itu jaminan yang diberikan Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, dalam menyelaraskan kembali pengurusan selepas mengambil alih jawatan itu hari ini.

Selain menggantikan Rosman Ibrahim sebagai setiausaha agung FAS, Johan turut dilantik selaku naib presiden bersama-sama seorang lagi muka baru dalam Jawatankuasa Eksekutif FAS, Mohd Izhar Moslim.

Sambil menyifatkan ini sebagai tugas berat, sudah pasti ia memerlukan penilaian terperinci dalam tugas yang telah ditinggalkan oleh pengurusan lama untuk melakukan penambahbaikan.

Masih terlalu awal untuk memberi perancangan dengan lebih jelas, Dr Johan ingin fokus kepada bengkel yang akan dianjurkan oleh Presiden FAS, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, 4 Ogos ini sebagai titik permulaan dengan perincian ke arah perubahan.

"Insya-Allah dalam masa sebulan kami perlu tentukan hala tuju daripada segi pengurusan, aset pengurusan -- keperluan sama ada berpindah ke pejabat baru, termasuklah perpindahan Selangor yang mungkin beraksi di Stadium Shah Alam.

"Semua aspek perlu dilihat memandangkan Stadium Shah Alam tidak memenuhi kriteria pelesenan kelab.

"Perkara-perkara sebegini memerlukan banyak koordinasi dan dalam tempoh sebulan, ia perlu diselesaikan," katanya.

"Lagipun, bengkel (anjuran Tengku Amir Shah), akan diadakan tiga minggu lagi," katanya.

Hari pertama memulakan tugas, Dr Johan sedang merangka peranan tugas yang lebih jelas dalam pengurusan FAS bagi memastikan hala tuju yang lebih tepat.

Kami (ingin mengukuhkan aspek) pengurusan di bahagian pejabat, akan berlaku perubahan peranan dan bidang tugasan untuk disesuaikan dengan hala tuju yang baru," katanya lagi.