Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT), melabuhkan saingan liga dengan nota kemenangan setelah menundukkan Kuala Lumpur 2-0 dalam aksi di Larkin, malam ini.

Dua gol penyerang import dari Argentina, Fernando Marquez, membolehkan anak-anak buah Raul Longhi itu mengakhiri saingan Liga Super 2018 dengan kutipan 59 mata, melebihi 10 mata daripada kempen mereka musim lalu.

Beraksi di laman sendiri, skuad Harimau Selatan itu sememangnya mengharapkan tiga mata mampu diraih, lebih-lebih lagi Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh Fabio Maciel itu merupakan satu-satunya pasukan yang menundukkan JDT musim ini dalam aksi pusingan pertama di Cheras.

Larian deras Gonzalo Cabrera dari sebelah kiri ketika aksi berusia 13 minit jelas mengatasi seorang benteng skuad Warga Kota, sebelum Marquez yang menunggu di depan gawang mudah menampan bola masuk.

Marquez ternyata berada dalam kelas tersendiri, kali ini menyambut hantaran jauh selepas dua minit aksi bersambung dalam separuh masa kedua dan melepasi perangkap ofsaid sebelum melambungkan bola melepasi penjaga gol pelawat, Sharbinee Allawee Ramli.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat, menamatkan kempen cemerlang JDT musim ini selepas menjulang trofi Liga Super buat kali kelima berturut-turut.


KEPUTUSAN LAIN:

Negeri Sembilan 1 Melaka 3

PKNS FC 4 Perak 1


Kredit foto: Facebook Johor Southern Tigers