Pengurus pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa, berwaspada dengan taktikal Terengganu yang mampu merosakkan Majlis Sambutan Menjulang Piala Liga Super Kali Keenam berturut-turut di Larkin, esok.

Impian Harimau Selatan untuk mengulangi kejayaan Liga Super edisi 2016 dengan rekod tanpa kalah tidak kesampaian setelah dicalarkan pasukan kerdil, Petaling Jaya (PJC) City FC, kelmarin.

Figueroa menuntut barisan pemainnya agar segera bangkit menentang Sang Penyu kerana tidak rela sambutan menjulang piala tersebut direncatkan dengan satu lagi episod kekalahan.

Apatah lagi, sejak tiga pertemuan lalu dengan JDT, Terengganu mempunyai rekod memberangsangkan dengan mengikat gergasi selatan itu sebanyak dua kali dalam saingan liga dan Piala Malaysia serta melakar satu kemenangan tipis di Kuala Terengganu.

"Saya tidak bimbang dengan kekalahan kepada PJ City kerana kami sudah bergelar juara.

"Tetapi adalah menjadi kebimbangan saya sekiranya kami gagal berikan aksi di tahap sebenar dan saya mahu pastikan ia tidak berlaku lagi," ujar bekas penyerang Argentina itu.

Beliau juga akan berbincang semula dengan barisan kejurulatihan dalam memperbaiki aspek taktikal JDT menjelang kunjungan pelawat.

"Pertemuan dengan Terengganu amat sukar, mereka memiliki pemain import yang berkualiti tetapi kami memburu kemenangan demi pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta penyokong," katanya lagi.