JDT teruskan penguasaan

Oleh Staff Writer 18 Mei 2019 4665
JDT teruskan penguasaan
PKNS FC 1 JDT 2

Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), meneruskan penguasaan mereka dengan membenam PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.


Diogo Luis Santo muncul penyelamat skuad Harimau Selatan itu selepas pemain tengah import PKNS FC, Romel Morales, memadamkan jaringan pembukaan Safawi Rasid dalam babak pertama.

Safawi meletakkan JDT di depan pada minit ke-17 selepas melakukan gerakan solo dari sebelah kanan yang diakhiri dengan penyudah kaki kiri yang menewaskan penjaga gol PKNS FC, Tauffiq Ar Rasyid.

Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan selama 14 minit apabila Morales kembali mengikat kedudukan dengan memanfaatkan hantaran lintang kapten pasukan, K. Gurusamy, untuk menewaskan penjaga gol lawan, Farizal Marlias, pada minit ke-31.

Namun, Diogo memastikan rekod tanpa kalah pasukannya sepanjang musim ini dikekalkan apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-60.

Dengan kemenangan itu, JDT kini menghimpunkan sebanyak 36 mata dan berkelebihan 11 mata di depan pasukan di tangga kedua, Pahang, yang akan berdepan Perak, Ahad ini.

Sementara itu, bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali, menjadi pemisah dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan gol tunggalnya pada minit ke-91 memberikan Petaling Jaya City tiga mata lagi hasil kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur.

KEPUTUSAN LAIN:
PETALING JAYA CITY 1 KUALA LUMPUR 0

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen