Perak terpaksa akur dengan kehebatan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas ditewaskan juara Liga Super 2019 itu 3-0 dalam aksi di laman sendiri, malam tadi.

Perak tampak berupaya menyaingi skuad Harimau Selatan itu di peringkat awal permainan dan berjaya mencipta beberapa peluang menjaringkan gol.

Ronaldo Henrique Silva berpeluang meletakkan Perak di hadapan pada minit kelima tetapi rembatannya sipi ke sebelah kiri gawang.

"Mereka yang terbaik. Itu hakikat yang harus kami akui. Saya akur bahawa kami tidak mampu menandingi kehebatan mereka, " kata jurulatih Perak, Mehmet Durakovic.

"Jika rembatan itu masuk, saya yakin ceritanya berlainan. Malangnya semalam nyata bukan milik kami. Kami tumpas kepada tiga jaringan bertaraf tinggi JDT."

Bagaimanapun, Durakovic berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang telah mencuba sedaya-upaya, terutama dalam separuh kedua.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa. Kami lakukan tiga kesilapan dan dihukum tiga kali," tambahnya.