Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya pasukan dalam negara yang menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) setelah menjuarai Liga Super selama enam kali berturut-turut.

Sijil pengiktirafan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong, kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim, dalam majlis yang berlangsung di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir menyaksikan majlis itu ialah Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Berdasarkan rekod, JDT memenangi kejuaraan Liga Super buat pertama kalinya pada tahun 2014, kemudian diikuti pada tahun 2015, 2016, 2017, 2018 dan tahun ini.

Tahun lalu, kelab itu turut menerima empat pengiktarafan daripada MBOR, antaranya menjadi pasukan pertama dari rantau Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada 2015.

Pengiktirafan juga diberi kerana kejayaan mengekalkan rekod tanpa kalah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bermula tahun 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017 dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan liga pada musim 2016.

-- BERNAMA