JDT raikan kejuaraan dengan lima gol di Larkin

Oleh Staff Writer 24 September 2016 313
JDT raikan kejuaraan dengan lima gol di Larkin

Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan malam penyampaian trofi juara Liga Super dengan menghadirkan kemenangan bergaya di hadapan penyokong sendiri apabila membelasah T-Team 5-1 di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin.

Penyerang Argentina, Juan Martin Lucero, paling mencuri tumpuan apabila menyumbang hatrik menerusi jaringan pada minit ke-26, 34 dan 60.

JDT membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi bekas pemain Selangor, Amirulhadi Zainal, sebelum hatrik Lucero dan gol sendiri oleh Abdoulaye Maiga melengkapkan kemenangan besar.
 
Gol tunggal T-Team disumbangkan oleh Patrick Dos Santos Cruz pada minit ke-43 perlawanan.

Sementara itu, Felda bangkit daripada ketinggalan dalam separuh masa pertama untuk kesudahannya memaksa keputusan seri 3-3 berdepan Sarawak di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Felda mendahului pada minit ke-19 menerusi tandukan Gilberto Alemao sebelum Tommy Mawat menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian.

Sarawak kemudian berada di depan 3-1 menerusi Nur Shamie pada minit ke-39 dan Gilmar da Silva di hujung babak pertama.

Felda bangkit dalam babak kedua menerusi gol Zah Rahan Krangar pada minit ke-54 sebelum Lutfulla Turaev berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan bagi memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata.

Keputusan lain:

Pahang 1 Pulau Pinang 0

Selangor 0 Perak 1

Terengganu 0 Kedah 3

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen