JDT raih kemenangan berharga

Oleh Farizal Yusoff 28 April 2018 9941
JDT raih kemenangan berharga
KELANTAN 1 JDT 2

Skuad Harimau Selatan terus mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super apabila merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


Biarpun menurunkan kesebelasan terbaik, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapati barisan muda The Red Warriors (TRW) begitu sukar untuk dijinakkan.

TRW berjaya mengejutkan JDT melalui jaringan cantik kapten, Mohamad Ghaddar, yang menyudahkan hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat, menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias, pada minit ke-11.

Selang seminit, TRW hampir menggandakan kedudukan, namun rembatan kencang pertahanan, Mohamad Azwan Mohd Arifin, tersasar.

Pada minit ke-37, kesilapan penjaga gol Kelantan, Mohammad Fikri Che Soh, yang menjatuhkan S. Kunanlan dalam petak penalti memberikan sepakan penalti kepada JDT yang disempurnakan oleh Safiq Rahim bagi menyamakan kedudukan.

Akibat kecederaan, pengendali, Fajer Ibrahim, mengeluarkan Ghaddar dan memasukkan bekas penyerang JDT II, Shafiq Shaharudin, dalam separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan, malangnya setiap asakan berjaya dipatahkan benteng pertahanan.

Namun, Natxso Insa mengecewakan tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-83, sekali gus memberikan kemenangan buat JDT.

Sementara itu, di Stadium Darulmakmur, Pahang merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Melaka United untuk terus memberikan tekanan kepada JDT dalam saingan Liga Super.

Pahang bergelut menemui sentuhan pada awal permainan sebelum Patrick Cruz dan Faizal Halim muncul peledak jaringan dalam separuh masa kedua buat skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Keputusan lain:

Liga Perdana:

PULAU PINANG 2 SABAH 1

UKM 3 MISC-MIFA 3

Imej: Asiana

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen