JDT puas raih tiga mata penting

Oleh Tengku Danish Bahri 11 Mac 2018 6047
JDT puas raih tiga mata penting
Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi, mengakui mereka bergelut untuk beraksi di tahap terbaik walaupun menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Kuala Terengganu, malam tadi.

Jurulatih kelahiran Argentina itu jelas gembira dengan kejayaan skuad bimbingannya meleburkan rekod tanpa kalah Sang Penyu, sekali gus kembali melonjak ke tangga teratas Liga Super.

Ketiadaan Safiq Rahim dan Luciano Figueroa dalam kesebelasan utama juga enggan dibincangkan, sebaliknya Longhi menyifatkan seluruh warga kelab berpuas hati dengan keputusan positif itu.

“Kemenangan ini amat penting kerana bukan mudah untuk menang dengan keadaan padang yang tidak berapa baik.

“TFC sebuah pasukan yang bagus dan lawan yang sukar. Kami gembira dengan tiga mata diraih,” jelasnya.

Dalam aksi malam tadi, jaringan tunggal pemain pertahanan, Marcos Antonio, pada minit ke-30 memisahkan kedua-dua pasukan dengan menyaksikan tuan rumah sering kali mencemaskan JDT.

JDT sebaliknya sesekali mengancam kubu TFC diketuai Ahmad Hazwan Bakri, namun kedudukan 1-0 sudah memadai buat skuad Harimau Selatan itu mencatat kemenangan keempat musim ini.

“Semua pemain bekerja keras memperagakan aksi menarik dan saya berbangga dengan usaha mereka,” tambah Longhi.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen