PKNP 1 JDT 2

Johor Darul Ta'azim (JDT) terus melebarkan penguasaan Liga Super apabila membenam PKNP FC 2-1 di Stadium Perak, malam ini.


Perlawanan pada awalnya didominasi JDT dengan kawalan dan hantaran baik antara pemain. Pada minit ke-13, JDT nyaris di hadapan melalui rembatan Ahmad Hazwan Bakri, namun tersasar dan hanya menerjah tepi jaring PKNP.

Tersentak dengan percubaan itu, tiga minit kemudian, PKNP membuat serangan balas tetapi hantaran Mohammad Hafiz Ramdan gagal disudahkan Franklin Anzite.

PKNP turut berpeluang mendahului permainan, namun rembatan Hafiz di sebelah kiri terkena pertahanan lawan manakala penyerang JDT, Ahmad Hazwan Bakri, juga kecewa apabila tandukannya tersasar.

PKNP pula menekan pertahanan JDT sebaik permainan bersambung, namun pengalaman pertahanan lawan lebih bersedia.

Akhirnya, juara Liga Super itu berada di hadapan pada minit ke-73 apabila rembatan Fernando Marquez dari luar kotak penalti menerjah gawang selepas gagal dibaca dengan baik oleh penjaga gol, Muhammad Syazani Mat Puat.

Sekali lagi, JDT menjaringkan gol dua minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-0 melalui pemain gantian, Muhammad Syafiq Ahmad.

PKNP tidak mengalah apabila pemain gantian, Fandi Ahmad, mencuri tumpuan apabila lariannya mengelirukan pertahananan JDT sebelum merembat deras ke gawang JDT pada minit ke-78,

Begitupun, kebangkitan lewat yang cuba dijelmakan tidak berhasil apabila tiada penambahan gol sehingga wisel penamat.