PAHANG 1 JDT 2

Pahang tumpas dua kali kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam tempoh tidak sampai seminggu apabila tunduk 2-1 di laman sendiri di Stadium Darulmakmur, malam ini.


Ia kemenangan kedua JDT ke atas skuad Tok Gajah dalam Liga Super selepas menang 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Jumaat lalu.

Kemenangan terbaru itu membawa JDT semakin hampir kepada kejuaraan kelima berturut-turut mereka, dengan membuka kelebihan 11 mata di persada liga.

JDT memulakan perlawanan dengan baik di Kuantan dan usaha berterusan mereka membuahkan hasil pada minit ke-32 menerusi jaringan Fernando Andres Marquez.

Di sebalik gerakan kemas jentera serangan, kawalan ketat skuad bimbingan Raul Longhi itu di bahagian pertahanan membuatkan Pahang kebuntuan untuk menjaringkan gol penyamaan.

Pahang tidak menunggu lama untuk mengasak pintu gol JDT sebaik memulakan separuh masa kedua, dengan Norshahrul Idlan Talaha membuat percubaan pada minit ke-46, tetapi ditangkap kemas penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias.

Selepas itu, tiada percubaan tepat dapat dilakukan kedua-dua pasukan, terutama Pahang, yang semakin terdesak sehingga minit ke-80.

Ketika perlawanan tinggal 10 minit, Mohd Faisal Abdul Halim bijak mengelirukan sekurang-kurangnya dua pertahanan JDT untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti, namun malangnya penyudah pemain itu dinafikan Farizal.

Bagaimanapun, ketika JDT di ambang kemenangan, Pahang menemui gol penyamaan menerusi rembatan rendah Issey Nakajima pada minit ke-86.

JDT nyata tidak berputus asa untuk mencari kemenangan, dengan sepakan penalti dihadiahkan kepada mereka dalam masa kecederaan apabila Ahmad Hazwan Bakri dikasari penjaga gol lawan, Mohamad Helmi Eliza Elias.

Gonzalo Cabrera tidak mempunyai masalah untuk menyudahkan penalti tersebut untuk membawa pelawat berkelebihan 2-1.

Kemenangan itu melebarkan jurang penguasaan JDT kepada 11 mata di tangga teratas, mengatasi Pahang yang berada di tangga kedua, dengan tinggal tujuh perlawanan untuk harungi.