Kemenangan 7-0 ke atas Melaka United dalam saingan Liga Super malam tadi, menyerlahkan kebangkitan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang tewas dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFC kepada Global FC, 5 April lalu.

Kemenangan ini melonjakkan JDT ke tangga ketiga Liga Super selepas merakam kemenangan penuh bergaya di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.

JDT turun dengan misi meraih kemenangan bagi memulihkan semula semangat pasukan -- mereka juga tewas 1-3 kepada Pahang dalam suku akhir pertama Piala FA, 1 April lalu -- tatkala Melaka mahu mengukuhkan kedudukan dalam liga.

Tuan rumah hanya memerlukan tujuh minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Guerra yang menyudahkan hantaran Azrif Nasrulhaq.

Guerra kemudian merangka gol kedua yang disudahkan Safiq Rahim sembilan minit kemudian.

Malang terus menimpa Melaka apabila Amirulhadi Zainal meraih gol ketiga pada minit ke-23.

Gonzalo Caberra meledak gol untuk menjadi kedudukan 4-0 pada penghujung separuh masa pertama.

Masuk babak kedua, JDT terus mengganas dengan dua lagi gol daripada Azamuddin Akil dan Safiq.

Azrif kemudian dikasari pertahanan Melaka dalam kawasan penalti pada hujung babak kedua dan Safiq tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-88 bagi melengkapkan hatriknya.

Pengendali The Southern Tigers, Benjamin Mora, berkata pemain-pemainnya tidak patah semangat, malah membuktika kebolehan mereka dalam perlawanan berkenaan.

"Prestasi pemain-pemain dalam perlawanan ini telah memberikan jawapan ketika kami tewas dalam aksi Piala AFC tempoh hari.

"Ketika kami kalah, kami bukanlah pasukan yang teruk kerana kami mampu menang dan bermain dengan cantik, berjuang habis-habisan," kata Mora.

Dalam pada itu, jurulatih Melaka, Eric Williams, kecewa dengan prestasi skuad kendaliannya yang diaibkan pasukan tuan rumah.

"Tidak kira banyak mana anda menasihati pemain, jika mereka tidak mempraktikkannya di atas padang, ia sememangnya sukar.

"Kami dibolosi di awal permainan dan keputusan ini satu tragedi, saya menjangkakan sesuatu yang lebih baik," katanya.