JDT 4 KELANTAN 0

Harapan Kelantan untuk mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin tidak kesampaian apabila dibelasah 4-0 dalam saingan Liga Super, sebentar tadi.


Fernando Elizari, Afiq Fazail, Safawi Rasid dan Safiq Rahim mencetak jaringan ketika merakamkan kemenangan ke-17 JDT dalam saingan Liga Super musim ini.

Kelantan turun beraksi di laman lawan dengan semangat tinggi untuk mengatasi juara Liga Super lima kali berturut-turut itu untuk merampas tiga mata.

Skuad kendalian Yusri Che Lah itu sebaliknya terpaksa mempamerkan aksi bertahan sepanjang separuh masa pertama ketika JDT melancarkan serangan bertali arus.

Jaringan pertama hadir dalam separuh masa kedua apabila percubaan Elizari ke dalam kotak penalti gagal dibaca oleh penjaga gol Kelantan, Shahrizan Ismail.

Enam minit kemudian, Marcos Antonio menyambar hantaran Safawi menerusi sepakan sudut sebelum Afiq menampan masuk gol kedua Harimau Selatan.

Kehadiran Safiq Rahim dalam separuh masa kedua mengubah corak permainan JDT yang lebih baik mencorak serangan menembusi kubu Kelantan. Sepakan sudut kapten pasukan itu berjaya disambar oleh Safawi untuk menjaringkan gol ketiga.

Pemain berusia 31 tahun itu melengkapkan kemenangan JDT dengan melakukan sepakan penalti 'panenka' selepas Shahrizan menjatuhkan S. Kunanlan.

Kekalahan itu menyaksikan Kelantan hampir pasti tersingkir ke Liga Perdana apabila menghuni tangga tercorot dengan 15 mata sementara JDT yang sudahpun menjuarai Liga Super buat kali kelima berturut-turut boleh beralih tumpuan untuk mempertahankan Piala Malaysia yang bakal bermula bulan depan.

Imej: Asiana