JOHOR DARUL TA'ZIM 2 KEDAH 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas menewaskan Kedah 2-0 di Larkin, sebentar tadi.


Gol daripada penyerang import, Leandro Velazquez, dalam separuh masa pertama serta satu daripada Safawi Rasid dalam babak berikutnya sudah cukup untuk skuad Harimau Selatan itu menghimpunkan 39 mata dengan berbaki tujuh perlawanan musim ini.

Malang buat Kedah apabila kad merah yang dilayangkan kepada pemain pertahanan, Rizal Ghazali, menipiskan peluang mereka untuk melakarkan kebangkitan dalam babak kedua.

JDT melancarkan serangan sejak awal permainan, antaranya menerusi percubaan Hariss Harun dan Safawi.

Usaha mereka berhasil apabila Velazquez yang tidak dikawal melepaskan sepakan lencong dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, pada minit ke-33.

Safawi hampir menggandakan jaringan itu lebih awal gara-gara salah faham di antara pertahan Kedah, Azmeer Yusof dan Ifwat, mujur Shakir Hamzah sempat mengeluarkan bola yang hampir melepasi garisan gol.

Diogo Santo turut menggegar jaring Kedah sebelum ke bilik persalinan, namun jaringannya tidak disahkan pengadil kerana terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid.

Tindakan Rizal yang melakukan terjahan keras ke atas Gonzalo Cabrera pada minit ke-67 jelas merugikan skuad Lang Merah itu apabila dia dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan JDT untuk menambah satu lagi gol apabila Safawi, yang terkenal sebagai pemain kidal, melakukan separa voli dengan kaki kanan untuk menewaskan Ifwat buat kali kedua pada minit ke-86.

Dengan kemenangan itu, JDT kini berkelebihan 13 mata di depan pasukan di tangga kedua, Pahang, yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Kedah pula kekal di tangga ketiga dengan 22 mata.

KEPUTUSAN LAIN:

KUALA LUMPUR 4 PKNP FC 1