JDT 3 KELANTAN 0

Johor Darul Ta'zim (JDT) mempamerkan persembahan cemerlang apabila selesa menewaskan Kelantan 3-0 sebelum menjulang trofi baru Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.


Trofi baru yang diperbuat daripada tembaga, perak dan emas tulen seberat 20 kilogram yang mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan oleh tukang emas diraja itu menjadi milik JDT bagi musim 2017 selepas memastikan kejayaan mereka buat kali keempat berturut-turut.

Kelantan, yang kini di bawah kepimpinan Bibi Ramjani Ilias Khan selaku presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), gagal memberikan saingan kepada juara Liga Super itu.

Malah, The Red Warriors kini hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran, hanya satu mata mengatasi Sarawak yang menghuni tangga ke-11, dengan liga berbaki hanya dua perlawanan.

Skuad kendalian Zahasmi Ismail itu ketinggalan seawal minit ke-19 hasil jaringan S. Kunanlan sebelum Gonzalo Cabrera menggandakan jaringan pada minit ke-36.

Sambutan JDT menjulang trofi Liga Super terus diserikan dengan gol ketiga, dengan kapten pasukan, Safiq Rahim, muncul sebagai pencetak jaringan menerusi sepakan percuma 10 minit selepas perlawanan bersambung.

Kemenangan ini memberikan ruang untuk JDT mengalihkan tumpuan mereka kepada saingan Piala Malaysia, di mana mereka selangkah lagi untuk melayakkan diri ke separuh akhir selepas meraih kemenangan 4-1 dalam aksi suku akhir pertama berdepan Melaka United.

Keputusan lain:

KEDAH 1 FELDA UNITED 3

PAHANG 3 SARAWAK 0

SELANGOR 1 PKNS 2

MELAKA UNITED 3 PERAK 1

PULAU PINANG 0 T-TEAM 2