JDT jangan anggap mudah PKNP FC

Oleh Azizan Hashim 12 Jun 2019 7240
JDT jangan anggap mudah PKNP FC
Beza di antara mereka bagaikan langit dengan bumi. Begitupun, Johor Darul Ta'zim (JDT) jangan menganggap mudah pertemuan dengan PKNP FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Jumaat ini.

Jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, memberi amaran betapa pasukan tuan rumah itu akan memberikan tentangan habis-habisan kepada pelawat.

"Memang kami tiada peluang dalam perlawanan ini. JDT berada dalam kelas tersendiri tetapi kami tetap akan mencuba sedaya-upaya untuk memberikan saingan kepada mereka.

"Jikapun hendak kalah, biarlah dengan cara melawan," katanya.

Justeru, beliau berharap anak buahnya tidak melakukan kesilapan hingga membolehkan lawan memperoleh jaringan mudah.

Menurut jurulatih itu, benteng PKNP FC musim ini ternyata rapuh yang menyaksikan mereka bolos sebanyak 30 kali dalam 15 perlawanan.

"Kami sering terpaksa beraksi tanpa tonggak benteng kerana kecederaan dan penggantungan hingga menjejaskan persembahan pasukan.

"Puratanya (bolos) dua gol satu perlawanan. Jadi, saya berharap semua itu berakhir dalam baki tujuh perlawanan kerana saya perlukan barisan terkuat dalam setiap perlawanan," katanya.

Abu Bakar yakin anak buahnya akan mengusahakan pencapaian terbaik dalam baki perlawanan untuk menyelamatkan pasukan itu daripada tersingkir ke Liga Perdana 2020.

PKNP FC ketika ini ibarat telur di hujung tanduk kerana menduduki tangga ke-11 daripada 12 pasukan dalam Liga Super. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen