JDT ikrar pertahan rekod bersih musim ini 

Oleh Staff Writer 27 Jun 2019 865
JDT ikrar pertahan rekod bersih musim ini 
Johor Darul Ta'zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri dan membuktikan mereka adalah pasukan yang menjadi aspirasi apabila menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut malam tadi.

JDT bergelar juara buat kali pertama pada 2014 dan dominasi mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berterusan musim ini.

Tidak seperti saingan sengit dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan gelaran juara hanya ditentukan dalam perlawanan terakhir, Harimau Selatan bergelar juara dengan baki empat perlawanan lagi. 

Setakat ini, mereka menikmati rekod tanpa kalah dalam aksi liga. 

Ketika berkunjung ke Stadium Hang Jebat bertemu Melaka United, malam tadi, Nazmi Faiz Mansor membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh dan 20 minit kemudian, Diogo Luis Santo, menggandakan jaringan buat JDT manakala Shukor Adan menyumbat gol sagu hati sebelum tamat perlawanan. 

Kejayaan barisan kendalian Benjamin Mora itu musim ini turut menyaksikan mereka layak secara automatik ke pentas tertinggi Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

"Saya gembira meraih trofi Liga Super kedua secara peribadi. 

"Ditabalkan juara ketika perlawanan masih berbaki empat perlawanan merupakan satu pencapaian yang sukar dipercayai. 

"Saya amat gembira atas segala sokongan yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, barisan kejurulatihan dan peminat," kata pemain tengah, Syamer Kutty Abba. 

Dalam masa sama, Nazmi enggan dibuai kejayaan kerana perjuangan mereka belum selesai. 

"Liga masih ada baki empat perlawanan lagi. 

"Kami mahukan terus (meraih) kemenangan lagi dan perjuangan kami masih belum berakhir. 

"Kami mahu muncul sebagai juara yang tidak terkalah musim ini," ujarnya. 

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen