Tiga mata yang diraih selepas menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam semalam meletakkan Johor Darul Ta'zim (JDT) selesa di puncak Liga Super dengan kelebihan 11 mata di depan pencabar terdekat, Pahang.

JDT di laluan tepat untuk menjulang kejuaraan lebih awal seperti mana yang dilakukan pasukan itu sebelum ini.

Ketika ramai yang menjangkakan pasukannya akan mengulangi pencapaian seperti musim-musim terdahulu, pengurus pasukan, Luciano Figueroa, bagaimanapun memilih untuk kekal bertenang.

Bekas penyerang JDT itu lebih selesa untuk melalui satu demi satu perlawanan daripada memikirkan kejuaraan lebih awal yang mungkin akan mendatangkan lebih tekanan buat keseluruhan pasukannya.

Hakikatnya, hanya itu yang mampu menjamin kejuaraan kali keenam berturut-turut buat skuad Harimau Selatan itu.

"Kami perlu memberikan pujian kepada pemain kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan baik.

"Kami mencatatkan satu lagi kemenangan di laman lawan dan perkara itu amat penting

"Kami perlu mengekalkan mentaliti kemenangan seperti itu kerana ia amat penting buat kami.

"Kami meraih tiga mata dan kami akan menunggu apa yang akan terjadi selepas ini," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal, tidak menafikan mutu permainan yang dipamerkan anak buahnya meletakkan JDT berada dalam keadaan cemas buat seketika.

Dalam masa sama, Rajagobal turut terkesan dengan mutu pengadilan yang mengakibatkan PKNS FC keciciran mata di laman sendiri.

"Jika kita nak sentuh, benar, adakalanya keputusan pengadil agak mengecewakan, namun saya tidak mahu memberikan komen lebih panjang.

"Situasi itu hadir ketika pemain kami sedang berkeazaman tinggi dan yakin untuk beraksi.

"Saya perlu melihat rakaman video terlebih dahulu untuk membuat sebarang komen.

"Kami menerima maklum balas daripada pemain, namun untuk membuat sebarang keputusan akhir, saya perlu melihat rakaman video terlebih dahulu," katanya.