JDT gagal akhiri saingan liga dengan tiga mata

Oleh Staff Writer 20 Julai 2019 1222
JDT gagal akhiri saingan liga dengan tiga mata
Ego juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi direntap selepas Terengganu membuktikan mereka masih menjadi pasukan liat untuk dijinakkan, sekali gus menghampakan tuan rumah yang sudah memasang impian untuk menamatkan aksi terakhir liga dengan tiga mata.

Biarpun bukan kemenangan, namun satu mata yang diraih di Larkin sudah cukup untuk Terengganu terus menjadi badi buat juara bertahan Liga Super enam kali berturut-turut itu.

Apatah lagi, jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain, tidak dapat membawa skuad lengkap kerana beberapa tonggak dihantui kecederaan, serta import baru dari Terengganu II, Serhii Andrieiev, baru sahaja melaporkan diri Isnin lalu dan masih belum serasi dengan pasukan.

Namun, Nafuzi berjaya menggarap resipi terbaik di sebalik mereka ketinggalan pada babak pertama, untuk menjaringkan dua gol. 

Lebih menarik, pemberian sepakan penalti yang kontroversi oleh pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria, kepada JDT berjaya ditepis penjaga gol Terengganu, Ilham Amirullah.

"Kami bermain dengan kekurangan pemain utama dan terpaksa mendapatkan khidmat beberapa pemain daripada Terengganu II. Setiap perancangan telah dijelmakan dan saya sangat berbangga dengan keputusan ini," kata Nafuzi.

"JDT adalah juara, mereka bermain dengen cemerlang tetapi Terengganu bangkit memastikan mereka gagal meraih kemenangan," kata kapten Terengganu, Lee Tuck.

Bagi JDT, ia satu tamparan kerana gagal memanfaatkan peluang untuk meraih kemenangan meskipun 10 minit terakhir Terengganu beraksi kurang satu pemain selepas Tuck mengutip kad kuning kedua dan diarah keluar padang.

"Kami perlu memperbaiki kelemahan selepas ini. Kami tidak bertuah kerana gagal menamatkan musim dengan kemenangan," ujar penyerang JDT, Safawi Rasid.

Sementara itu, di sebalik keputusan seri 3-3 dengan Terengganu dalam perlawanan terakhir Liga Super, JDT tetap bersemangat untuk majlis sambutan menjulang piala liga buat kali keenam berturut-turut.

Mereka juga turut diberikan pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) berdasarkan pencapaian itu.

Piala diarak masuk ke dalam stadium oleh Askar Timbalan Setia Negeri (JMF) dan sejurus selepas sesi sambutan di dalam Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, piala tersebut diarak mengellilingi bandar Johor Bahru.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen