"Jangan banding Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan pasukan lain dalam Liga Super kerana mereka berada dalam kelas tersendiri."

Begitu pandangan pengendali Perak, Mehmet Durakovic, ketika bercakap mengenai juara Liga Super itu yang akan berdepan mereka dalam Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 2 Februari ini.

"JDT adalah pasukan terbaik di Malaysia. Mereka punyai kewangan kukuh, kemudahan, pemain dan pengurusan terbaik.

"Semua pasukan mahu menjadi seperti JDT. Itu hakikat yang perlu diterima semua pihak, " kata Durakovic.

Jurulatih itu mengakui dia akan lebih daripada berpuas hati andai Perak mampu menjadi separuh daripada JDT.

"Tak dapat jadi macam JDT tak mengapa. Separuh daripada itupun jadilah," ujarnya.

Durakovic berkata Perak juga sudah semakin mengorak langkah ke arah profesionalisme dengan pengurusan berkesan serta mewujudkan kemudahan, terutama padang latihan sintetik dan rumput asli.

"Keadaan di Perak juga semakin baik. Ini semua petanda-petanda baik demi masa depan bola sepak Perak," katanya.

Menurut pengendali itu, skuad Perak kini berada di tahap memberangsangkan dan bersemangat tinggi.

Jurulatih dari Australia itu berharap pasukan The Bos Gaurus mampu mengulangi pencapaian musim lalu dengan muncul naib juara Liga Super dan menjuarai Piala Malaysia.

"Kami mempamerkan kesungguhan tinggi dan semangat kekeluargaan padu untuk menjadi pasukan kedua terbaik di belakang JDT.

"Selepas berusaha dan menanti selama 18 tahun, Perak akhirnya berjaya menjuarai Piala Malaysia.

"Saya berharap mereka akan mengulangi perwatakan sama tahun ini," katanya.

Walaupun sedar tugas berat menanti anak buahnya, Durakovic berharap pemain tidak mudah berputus asa dan menyerah tanpa melawan.