Skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) berhak meraih kemenangan dalam aksi menentang Pahang dalam saingan Liga Super malam tadi setelah menguasai keseluruhan permainan.

Ketua jurulatihnya, Raul Longhi, berkata skuad kendaliannya memberikan persembahan terbaik dan perlu akur dengan kemenangan tipis yang dicatatkan.

"Kemenangan dalam perlawanan malam ini amat penting buat kami, apatah lagi kami menguasai permainan.

"Kami juga mendapat tiga hingga empat peluang untuk mencipta jaringan tetapi gagal untuk memanfaatkannya ketika keputusan terikat 1-1.

"Serangan pantas pada minit akhir perlawanan merupakan peluang besar bagi kami untuk mencipta jaringan, sebaliknya kami dihadiahkan dengan penalti yang akhirnya menghasilkan gol. Jadi, saya gembira dengan hal ini," katanya selepas perlawanan di Stadium Darulmakmur.

Longhi, bagaimanapun, menghormati skuad Pahang sebagai pasukan yang kuat dan anak buahnya dilihat perlu bekerja keras untuk mengawal situasi.

Sementara itu, pengendali Pahang, Dollah Salleh, masih berpuas hati dengan prestasi skuad bimbingannya yang turun tanpa enam tonggak utama.

"Kami memasukkan enam pemain muda tetapi masih boleh memberikan tekanan kepada JDT, terutama aksi dalam separuh masa kedua.

"Mereka sudah memberikan yang terbaik dan boleh dikatakan hampir meraih kemenangan tetapi nasib tidak menyebelahi kami," katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, JDT terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Super apabila menang 2-1 ke atas Pahang.

-- BERNAMA

Kredit imej: Pahang FA