Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, akan mengambil masa dua minggu untuk membentuk Jawatankuasa Pemain Naturalisasi sebelum ia dibentangkan di Parlimen dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang.

Setelah diberi mandat selaku pengerusi, Yusof menegaskan beliau memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk membentuk jawatankuasa yang bukan hanya terdiri daripada wakil FAM sahaja.

Malah, ia bersifat nasional apabila pandangan dan juga buah fikiran daripada semua pihak menjadi keutamaan.

Barisan panel yang dituntut Yusof melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), wakil universiti mahupun bekas pemain untuk mencapai kriteria terbaik pemain naturalisasi yang diperlukan negara.

"Kami akan mengenal pasti individu, termasuk orang dari luar, untuk bersama-sama saya dalam Jawatankuasa Pemain Naturalisasi ini untuk mencari rumusan terbaik terhadap idea naturalisasi pemain," kata Yusoff.

FAM menyambut baik reaksi positif Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, walaupun ia bersyarat.

Ia selaras dengan objektif utama penggunaan pemain naturalisasi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun sebelum tanggungjawab menggalas misi negara diserahkan kepada individu sebenar, iaitu pemain tempatan negara.

"Kami tidak akan menggunakan kaedah secara berterusan.

"Kami cuma ingin melonjakkan tahap pemain tempatan.

"Idea ini dilontarkan oleh presiden FAM dan saya sedang mengenal pasti individu untuk membentuk Jawatankuasa Pemain Naturalisasi bagi mendapatkan pandangan dari pelbagi sudut," katanya lagi.