PAHANG 1 SELANGOR 1

Hajat Pahang untuk kembali ke landasan kemenangan terpaksa dilupakan selepas diikat Selangor 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.


Gol daripada Rufino Segovia dalam babak kedua memadamkan pendahuluan tuan rumah setelah Wan Zaharulnizam Zakaria meletakkan Pahang di depan sebelum rehat.

Selangor bertandang ke tempat lawan membawa hajat besar, mahu mencuri sekurang-kurangnya satu mata selepas dibelasah PKNS FC 4-0 dalam aksi sebelum ini tatkala Pahang ingin mendapatkan semula tiga mata selepas diikat Melaka 1-1 di Stadium Hang Jebat minggu lalu.

Bagaimanapun, Pahang terlebih dahulu melakukan asakan ke kubu pelawat pada minit kelapan tetapi percubaan Norshahrul Idlan Talaha tersasar.

Selangor cuba memberi tentangan menerusi gerakan solo daripada Faiz Nasir dari bahagian tengah, namun usaha bekas tonggak Terengganu itu dinafikan keampuhan bek tengah skuad Tok Gajah, Herold Goulon.

Jaringan yang ditunggu penyokong di Stadium Darul Makmur akhirnya menyusul ketika babak pertama berbaki 11 minit apabila Wan Zaharulnizam -- yang menggantikan Nor Azam Azih dalam kesebelasan utama -- melepaskan rembatan leret dan bola terkena kaki K. Sarkunan sebelum menewaskan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Pahang hampir menambah pendahuluan tiga minit kemudian tetapi mujur Michal Nguyen pantas melonjak tinggi untuk menanduk keluar bola hantaran lintang Mohamadou Sumareh dari sebelah kanan.

Larian deras Syazwan Zainon dari sebelah kiri membolehkan Endrick Dos Santos membuka ruang buat Segovia membuat percubaan pada minit ke-42, namun rembatan deras penggempur dari Sepanyol itu ditampan keluar Helmi Eliza Elias.

Tuan rumah lebih banyak menguasai permainan babak kedua sambil kekebalan benteng skuad kendalian Dollah Salleh yang diterajui Goulon itu terus membuatkan pelawat buntu mencari gol penyamaan.

Selangor berpeluang menjadikan kedudukan 1-1 selepas Faiz dijatuhkan Goulon di depan kotak penalti tetapi sepakan percuma daripada Segovia pada minit ke-55 terkena benteng.

Asakan bertali arus The Red Giants akhirnya membuahkan hasil lima minit kemudian apabila bola lorongan kemas Syazwan disambut penggempur berusia 33 tahun itu sebelum melepaskan rembatan leret kaki kiri menewaskan Helmi Eliza untuk gol kedua peribadinya musim ini.

Tuan rumah menerima tamparan setelah Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-72 selepas merempuh dan dilihat memijak Dos Santos ketika pelawat melancarkan serangan.

Kemasukan Amri Yahyah menggantikan Syazwan pada minit ke-83 dilihat gagal memberikan impak kepada pelawat dan kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.


Keputusan lain

Liga Perdana:

NEGERI SEMBILAN 1 PULAU PINANG 1
UITM FC 1 JDT II 2