Jurulatih Selangor, P. Maniam, mengakui jaringan awal Pahang merentap semangat Selangor apabila kecundang 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Selayang, malam tadi.

Lebih parah, anak buah Maniam mengambil masa terlalu lama untuk kembali bangkit menguasai permainan walaupun pada satu ketika mereka dapat menyamakan kedudukan.

Patrick Cruz membuka jaringan buat Pahang sebelum Selangor menjadikan kedudukan 1-1 menerusi percubaan Rufino Segovia sebelum tamat separuh masa.

Dua jaringan daripada bekas penyerang Selangor, Francis Forkey Doe, menyaksikan mereka tewas dua kali berturut-turut dalam saingan liga selepas tewas kepada Terengganu 4-1 dalam aksi terdahulu.

"Kami telah bermain dengan baik selepas menyamakan kedudukan tetapi jaringan awal pada separuh masa kedua meranapkan semangat pemain-pemain kami dalam perlawanan ini," kata Maniam.

Kombinasi pemain Selangor yang memiliki corak permainan laju juga nampaknya kurang menjadi ekoran penguasaan Pahang yang lebih banyak memberi tekanan kepada pertahanan skuad Merah Kuning itu.

"Jentera serangan Pahang memberi tekanan kepada Selangor dan ia telah merencatkan gerakan kami. Ternyata, taktikal mereka berhasil dalam perlawanan ini," katanya lagi.