Pengendali Selangor, P. Maniam, mengakui pasukannya tidak memulakan perlawanan dengan baik berdepan Sarawak, namun gol pembukaan berjaya meningkatkan motivasi pemain dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Sepuluh minit pertama perlawanan menyaksikan pelawat lebih banyak mengancam benteng Selangor dan ia diakui Maniam.

Namun, jaringan Victor Astafei pada minit ke-22 mengubah rentak perlawanan untuk Selangor kesudahannya menang 2-1.

"Permainan kami lebih lancar selepas menjaringkan gol. Walaupun kami dibolosi satu jaringan, ia merupakan kemenangan yang berharga buat kami," katanya.

Maniam turut memuji peranan Juliano Miniero, yang merangka jaringan Astafei pada babak pertama dan jaringan Francis Forkey Doe pada babak kedua.

"Miniero sudah menjaringkan empat gol dan menghasilkan bantuan jaringan buat pemain-pemain Selangor, saya sangat gembira dengan persembahannya dan semua pemain import yang beraksi."

Dalam pada itu, pengendali Sarawak, David Usop mengakui pasukannya perlu segera bangkit selepas kekalahan pada Sabtu dan perlu mengambil kesempatan dalam dua aksi di laman sendiri selepas ini.

"Kami gagal menyempurnakan peluang untuk menjaringkan gol, ternyata tuah tidak memihak kepada kami," jelas David Usop.