Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim, sekali lagi menegaskan supaya pemainnya tidak hilang fokus ketika melayan kujungan Terengganu FC (TFC) di Stadium Perak, malam ini.

Menurutnya, rekod kekalahan di tangan lawan sebelum ini adalah akibat kelalaian dan fokus, terutama di babak akhir permainan.

"Seperti perlawanan menentang Pahang dan Perak, kekalahan adalah hasil gol lewat. Oleh itu, saya mahu semua pemain beraksi kali ini dengan dedikasi yang tinggi," tambahnya.

Untuk pertemuan menentang TFC, ketua jurulatih PKNP tahu kelebihan dan kekurangan
yang ada.

Oleh itu, strategi diatur sebaik mungkin.

"TFC pasukan yang lengkap di setiap posisi dan mempunyai pemain import berkualiti. Malam ini, cuma tiga pemain import, Ritus Krjauklis, Kim Sang Woo dan Franklin Anzeta, akan diturunkan.

"Penyerang Chad, Karl Max Dany, kita lupakan kerana kecederaan. Ada pengganti, Alfred Okai Quaye dari Ghana tetapi proses dokumentasi belum selesai," ujar Abu Bakar.

Dany terpaksa melupakan hasrat beraksi dalam kancah Liga M apabila pergelangan kakinya patah walaupun belum sempat turun beraksi.