Beberapa pemain yang dihimpit masalah tunggakan gaji sebelum ini mengakui usaha yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Bekas pemain PDRM FA musim 2018, Hazwan Fakhrullah Mohd Zuridi, antara pemain yang berjaya memperoleh semula bayaran gaji tertunggak daripada bekas majikannya itu bersama-sama 11 pemain lain pada 22 Februari lalu.

Hazwan, dalam satu kenyataan MFL hari ini, berkata dengan pertolongan FAM melalui pemotongan hak penyiaran daripada PDRM, dia dan rakan-rakan boleh menarik nafas lega apabila tidak lagi memikirkan sebarang tunggakan bersama pasukan lamanya.

“Alhamdulillah, hak saya telah dilunaskan melalui pertolongan FAM selain ada sebahagian baki turut dibayar oleh PDRM menerusi pengurusan baru yang lebih prihatin.

"Saya rasa cukup berpuas hati dengan apa yang saya dapat sekarang serta rakan-rakan yang lain," katanya.

Tambahnya, setiap pemain harus berhati-hati memilih pasukan serta perlu memahami peranan FAM serta MFL hanyalah membantu dan memperketatkan peraturan secara berperingkat yang wajib diikuti setiap pasukan.

“Bagi saya, isu utama di sini adalah kedudukan kewangan pasukan yang kami wakili. Jadi, apabila isu tunggakan itu terjadi, sudah tentu menjadi tanggungjawab FAM dan MFL selesaikan masalah.

“Perkara ini kena dilihat secara lebih menyeluruh oleh semua pihak dan bukannya perlu menuding jari dengan menyalahkan mana-mana pihak kerana jalan penyelesaian sentiasa ada,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pandangan yang sama adalah bekas pemain Marcerra Kuantan FA, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin, yang berdepan isu tunggakan gaji bersama pasukan mereka sebelum FAM tampil membantu.

Zairul yang kini beraksi bersama UiTM FC manakala Daudsu selaku kapten Kelantan United, mengakui FAM sentiasa mencari jalan dalam membantu meringankan beban pemain selepas mereka mendapat sedikit bayaran daripada badan induk itu selain optimis baki selebihnya akan dilunaskan pada masa depan.

“Betul, FAM ada tolong kami yang pernah beraksi bersama Marcerra tahun lalu dengan membantu bayar tunggakan gaji yang ditinggalkan pasukan itu. Walaupun secara berperingkat, tapi setidak-tidaknya ia meringankan beban kami," jelas Zairul.

Dalam pada itu, Daudsu berkata: “Apa yang penting ketika ini, kami harap semua pihak sama-sama bantulah apa yang patut untuk selesaikan kemelut gaji yang masih ada kerana itu menjadi keutamaan setiap pemain."

-- BERNAMA