PDRM menunjukkan perkembangan positif dalam menangani isu tunggakan gaji apabila dikhabarkan sudah mula menyelesaikan hutang mereka kepada beberapa pemain.

Ia menyaksikan mereka berkemungkinan dapat mengelakkan pemotongan enam mata menjelang hujung bulan ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, yang akan terus memantau pergerakan dan kemas kini penyelesaian masalah berkenaan.

Bagaimanapun, Stuart menegaskan PDRM perlu mencapai kesepakatan dengan baki pemain dan pegawai yang terlibat sebelum tarikh akhir kedua Jumaat ini.

Untuk rekod, skuad The Cops itu akan memulakan liga musim ini dengan defisit tiga mata selepas gagal menyelesaikan masalah berkenaan pada tarikh akhir pertama 31 Januari lalu.

"Saya mendapat makluman terkini daripada setiausaha PDRM bahawa terdapat perkembangan dalam pembayaran mereka," kata Stuart.

"Berdasarkan semakan saya, memang ada bayaran yang telah dilakukan.

"Saya harap kami dapat menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat.

"Tetapi kami perlu menunggu makluman secara rasmi," katanya.