Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merancang untuk memperkenalkan peraturan kawalan ekonomi pada musim depan tetapi dalam masa yang sama menganggap isu tunggakan gaji pemain tidak akan dapat dapat diselesaikan dalam jangka masa pendek.

Respons itu dikeluarkan selepas Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan hutang pasukan atau kelab yang kini mencecah RM6.4 juta.

Sehubungan itu, ia antara langkah yang bakal diperkenalkan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu sebagai usaha membendung masalah hutang seperti yang diguna pakai kancah LaLiga di Sepanyol sejak 2012.

LaLiga sendiri berdepan masalah hutang keseluruhan melebihi €600 juta (RM2.8 bilion), termasuk €90 juta (RM422.87j) bagi tunggakan gaji pemain.

MFL, bagaimanapun, menyifatkan ia tidak menggugat kelancaran LaLiga atas faktor pelaksanaan sistem yang betul, tempoh masa yang tertentu dan mendapat kerjasama semua pihak.

Ini terbukti apabila LaLiga telah berjaya menghapuskan beban hutang tunggakan gaji sebanyak €90 juta (RM422.87 juta) pada 2012 sehingga menjadi sifar dalam tempoh lima tahun.

Jika sebelum itu, beberapa pasukan daripada 42 kelab LaLiga berdepan status muflis tetapi
dengan implikasi peraturan kawalan ekonomi berkenaan, ia menyaksikan mereka menyelesaikan hutang dan berbelanja mengikut kewangan mereka.

Peraturan kawalan ekonomi LaLiga itu juga menyaksikan kesemua 340 kes hutang pada 2012 telah diselesaikan.

Justeru, MFL optimis bahawa peraturan kawalan ekonomi dapat membantu pasukan tempatan dalam memahami peraturan dan menimba ilmu baru dalam pengurusan kewangan.

Selain itu, MFL bertindak membayar tunggakan gaji pemain menerusi pemotongan pendapatan hak penyiaran, termasuk musim ini, ke atas beberapa pasukan seperti yang diputuskan oleh FAM.