Nasib Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan geran tahunan persatuan itu akan disekat gara-gara masalah tunggakan gaji pemain.

Isu membabitkan pelepasan Syazwan Andik Ishak yang secara tidak langsung membongkar kemelut yang melanda KLFA.

Ini apabila Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa, mengakui kontrak pertahanan berusia 23 tahun itu bermasalah berkaitan gaji tertunggak.

Malah, Syazwan juga mendedahkan perkara yang sama di laman media sosial dengan menunjukkan kontraknya bersama KLFA terbatal selepas tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.

Mengundang tanda tanya mengenai pendaftaran Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia 2019 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan: "Langkah yang diambil di peringkat awal ini, kami telah mengumumkan bahawa wang geran tahunan mereka akan ditahan terlebih dahulu dan MFL akan meminta penjelasan.

"Kemudian, kes ini akan dibawa ke Jawatankuasa MFL.

"Sepanjang dua tahun lepas, MFL pernah membuat keputusan mengenai kes berkaitan pembayaran yang menyaksikan ada pasukan yang didenda dan dipotong mata."

Ini bermakna Kuala Lumpur senasib dengan Perlis apabila perlu menjelaskan tunggakan gaji dalam tempoh yang ditetapkan dengan agihan kewangan untuk pasukan itu akan dijadikan cagaran jika gagal berbuat demikian.

"Mereka perlu membuktikan bahawa semua bayaran telah dibuat dan mematuhi dokumen yang diperlukan dalam pendaftaran liga bagi membuktikan bahawa KLFA mempunyai kebolehan untuk menamatkan musim 2019 dengan jayanya," kata Kevin lagi.