Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tetap akan menuntut hak ke atas Syazwan Andik Ishak walaupun menyedari kontrak mereka bermasalah kerana tunggakan gaji sehingga menjadi punca pertahanan kiri Harimau Malaya itu meninggalkan skuad The City Boys dan dikatakan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT).

KLFA menetapkan nilai pampasan RM1.6 juta buat mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Syazwan yang sudah membuat permohonan rasmi untuk meninggalkan skuad Warga Kota itu.

Dengan Syazwan dikatakan sudah menyertai JDT, KLFA bagaimanapun mungkin tidak akan menerima pampasan yang setimpal gara-gara melanggar perjanjian kontrak pemain.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, mendakwa ada pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap KLFA setelah mereka gagal membuat pembayaran gaji mengikut jadual kepada pemain, termasuk Syazwan.

"Kalau dia mendakwa tidak terima gaji, dia perlu berbincang dengan kami.

"Sekali pun dia tidak pernah datang untuk berbincang, jadi susahlah. Kongres KLFA (yang ditangguh November lalu) menyebabkan kami terperangkap," kata Nokman.

"Pemain mengambil kesempatan terhadap situasi ini.

"Dia seorang sahaja yang berbuat demikian sedangkan pemain-pemain lain sudah pun menandatangani kontrak baru.

"Ada tangan ghaib yang (mendorongnya) berbuat demikian," tambahnya.

Syazwan antara pemain Kuala Lumpur yang tidak dibayar gaji selama dua bulan, sekali gus kontraknya bersama pasukan itu terbatal.

Ini bermakna Syazwan bebas untuk menyertai mana-mana pasukan walaupun masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Kuala Lumpur.

"KLFA akan tetap menghantar aduan kepada FAM. Kami akan menjelaskan perkara sebenar.

"Yang pertama, kami terlebih dahulu sudah mendapatkan persetujuannya secara lisan. Yang seterusnya, ada kelab yang berbincang dengannya melalui pintu belakang.

"Ketiga, dia masih mempunyai kontrak dengan kami," katanya lagi.