Ketua pasukan Selangor, Razman Roslan, menyarankan rakan sepasukan agar kekal fokus menghadapi musim baru Liga Malaysia (Liga M) biarpun sehingga kini masih belum ada kepastian tentang stadium yang bakal digunakan Gergasi Merah Kuning pada musim 2018.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebelum ini mahu menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang tempat sendiri musim ini.

Namun, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa sukar buat Selangor menggunakan Stadium Nasional memandangkan ia akan mengakibatkan pindaan jadual memandangkan stadium tersebut juga mempunyai jadual padat sepanjang tahun ini.

Bagi Razman, pemain kini perlu lebih fokus terhadap persiapan pasukan untuk menghadapi musim baru dan tidak terlalu memikirkan masalah venue Selangor musim ini.

"Pemain semua bersikap profesional, mereka tahu tanggungjawab masing-masing. Masalah stadium biar pihak pengurusan yang uruskan.

"Kami memberi fokus dalam padang untuk persiapan kami dan paling penting adalah untuk menghadapi perlawanan pertama nanti. Masalah di luar padang kami tidak hiraukan sangat, biar pengurusan buat kerja mereka.," kata Razman.

Nada sama turut dilontarkan pemain tengah dari Indonesia, Evan Dimas, yang menegaskan sebagai pemain profesional, mereka perlu bersedia bermain di mana sahaja dan tetap memberikan aksi terbaik di atas padang.

"Secara peribadi, saya tidak risau. Tidak kira bermain di mana sekalipun, saya tetap akan bersiap sedia," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, turut menyarankan Selangor agar menggunakan stadium lain seperti Stadium Selayang atau beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.