Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) mengingatkan pemain bola sepak tempatan agar lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial serta perlu memilih saluran betul jika terdapat sebarang masalah.

Menurut Timbalan Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, dia memandang seirus isu memperlekehkan imej pengadil oleh pemain-pemain terbabit di media sosial selepas insiden kad merah ke atas rakan sepasukan mereka.

Biarpun faham dengan kemarahan setiap pemain, Rezal menggesa agar mereka lebih bijak mengawal emosi kerana ia boleh memburukkan sesuatu isu.

Berasa lega pemain-pemain tidak dikenakan tindakan tatatertib oleh Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), dia mahu mereka menjadikan ia sebagai satu pengajaran serta tidak akan mengulanginya pada masa akan datang.

"Pemain tidak perlu meneruskan kontroversi dengan menyampaikannya dalam media sosial kerana pemain mempunyai saluran yang betul untuk melaporkan rasa tidak puas hati," katanya.

Dalam masa sama, Rezal mahu isu berkenaan diperhalusi lebih mendalam kerana berpendapat ia ada kaitan dengan kelemahan komunikasi pengadil kepada pemain.

Walaupun berpuas hati dengan penerangan Pengerusi Jawatakuasa Pengadil, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, dia berharap pengadil juga bijak memberi penerangan sewajarnya kepada pemain.

"Penjelasan kepada pemain juga penting supaya pemain lebih memahami hukuman kesalahan yang diputuskan oleh pengadil.

"Penjelasan itu membolehkan pemain mengetahui kesalahan mereka, seterusnya menerima hukuman yang dijatuhkan oleh pengadil."