Misi yang cukup getir buat pengendali Perak, Mehmet Durakovic, untuk mencari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila sebahagian pemainnya tidak cergas menjelang pertemuan berdepan Felda United di Stadium Perak malam ini.

Perak tiba di tanah air lewat malam Rabu lalu selepas berentap dengan Ulsan Hyundai dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (AC) di Korea Selatan.

Menerusi sesi latihan terakhir semalam, Durakovic mendapati beberapa pemainnya tidak berada dalam keadaan terbaik dan lebih memburukkan, dia terpaksa mengetepikan tonggak tengah, Brendan Gan, yang mengalami kecederaan serius di paha sambil Nazirul Naim Che Hashim dan Amirul Azahan Aznan masih dalam pertimbangan Durakovic untuk diturunkan, bergantung kepada laporan perubatan.

"Kami sudah berbincang dengan doktor dan fisioterapi pasukan. Sesetengah pemain mengalami kecederaan termasuk Brendan. Ini adalah bola sepak dan apa yang boleh kami buat. Diharapkan, kami dapat menurunkan barisan yang terbaik berdepan Felda," kata Durakovic.

Pengendali dari Australi itu mungkin akan membuat perubahan besar-besaran dengan memberi peluang buat pemain simpanan untuk beraksi menentang Felda.

Perak kini di tangga ke-10 liga dan hanya mampu mengutip satu mata sahaja daripada dua perlawanan.

"Kami tidak memiliki skuad yang besar. Jadi, ia tidak akan jadi mudah memandangkan kami berdepan banyak perlawanan."