Isu gaji Liga M membimbangkan

Oleh Staff Writer 17 September 2018 2387
Isu gaji Liga M membimbangkan
Isu tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia musim ini sudah berada di tahap mencemaskan apabila Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mendedahkan sekurang-kurangnya terdapat 14 pasukan bergelumang dengan masalah terbabit.

Realitinya memang pahit tetapi itulah kebenaran yang perlu ditelan pencinta bola sepak tanah air.

Menurut Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya, 14 pasukan terbabit termasuk lima daripada 10 pasukan Piala FAM yang sudah membuat laporan.

Biarpun enggan mendedahkan secara terperinci pasukan-pasukan terbabit, Rezal mengakui angka itu sudah mencapai tahap kronik.

"PFAM telah menerima 10 aduan daripada pemain-pemain yang beraksi (dalam Liga Malaysia).

"Dua daripadanya terdiri daripada pasukan Liga Super, tiga pasukan Liga Perdana dan lima daripada pasukan Piala FAM. 

"Proses kes ini berbeza-beza. Ada yang menunggu giliran untuk dimasukkan dalam Jawatankuasa Status, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan ada pula dalam proses Jawatankuasa Tataterbib FAM," katanya. 

Untuk saingan musim depan, Rezal menggesa setiap persatuan bola sepak negeri atau kelab bersikap realistik dalam soal pemberian gaji.

Baginya, tiada guna menjanjikan tawaran yang tinggi semata-mata hanya untuk memburu pemain ternama tetapi tiada sumber kewangan yang kukuh.

"Ukur baju di badan sendiri untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi membentuk sesebuah pasukan. 

"Tidak perlu menjanjikan bulan dan bintang bagi memburu pemain terbaik. 

"Yang penting sekali adalah menyelesaikan aspek kebajikan pemain," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen