Felda United mengambil langkah proaktif dalam menangani isu pemotongan geran selepas menjadi pasukan pertama mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.

Felda United, Kuala Lumpur, PDRM, Melaka, Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang dikenakan hukuman pemotongan geran selepas gagal mematuhi tarikh tutup pendaftaran pasukan, 31 Disember lalu.

Dalam masa sama, Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, PDRM dan Sarawak turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei ini kerana mengulangi kesalahan sama seperti tahun lalu.

Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman, menjelaskan hukuman yang dikenakan itu berpunca daripada perubahan barisan kepimpinan tertinggi pasukan itu sebelum ini.

"Kami akan mengemukakan rayuan hari ini walaupun tarikh yang ditetapkan adalah pada 29 April.

"Kami juga akan menyerahkan dokumen sokongan," katanya.

Daripada tujuh pasukan yang dikenakan denda, hanya Felda United sudah menyerahkan dokumen lengkap kepada MFL.

Keputusan akhir akan diputuskan ahli lembaga pengarah MFL selepas tempoh rayuan selama tujuh hari.

"Dengan rayuan yang kami buat serta dokumen sokongan yang kami kemukakan, kami berharap pihak MFL dapat mengurangkan denda.

"Pengurangan denda itu juga dapat membantu Felda United mendapatkan geran yang lebih besar," tambahnya.