Kelebihan fizikal PJ City FC dikenal pasti sebagai halangan buat Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, begitupun optimis pemain-pemainnya mampu beraksi dengan rentak sebenar, sekali gus tidak pulang tangan kosong.

Malah, kemenangan moral ke atas Felda United minggu lalu, serta sentuhan jaringan Kipre Tchetche juga disifatkannya sebagai tepat pada masanya.

"Mereka (PJ City) dibarisi pemain-pemain tegap dan tinggi seperti susuk tubuh pemain Eropah. Jadi, agak membimbangkan dalam situasi bola mati.

"Walaupun bertubuh kecil, saya yakin kelincahan pemain-pemain mampu menandingi kekuatan pihak lawan," jelasnya.

Semua pemain TFC bersedia untuk diturunkan kecuali Khairu Azrin Khazali (penggantungan) manakala Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang diketepikan sejak September tahun lalu, akan bermula dari bangku simpanan.

Irfan berkata jentera tengah TFC yang diketuai Lee Tuck perlu memainkan peranan mengawal permainan selain menamakan Bae Beon-geun sebagai antara yang perlu diberi perhatian.

"Saya lihat sendiri aksi PJ City FC bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur, mereka bermain dengan baik.

"Selepas mara ke suku akhir Piala FA dan menang ke atas Felda United, saya harap TFC ambil kesempatan untuk teruskan momentum," tambah Irfan lagi.