Kehilangan penggempur berbisa, Kipre Tchetche, tidak menggusarkan pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menjelang aksi Liga Super bertemu Kedah di Kuala Terengganu, malam esok.

Menurutnya, kekosongan di jentera serangan itu mampu digalas Akanni Sunday Wasiu yang dipanggil dari TFC II bagi merobek kubu pertahanan skuad Lang Merah itu.

Malah, Irfan menyifatkan kecederaan Tchetche bukan alasan untuk mereka gagal mengimbangi kekuatan di semua posisi, seterusnya mencapai kemenangan di depan penyokong sendiri.

“Walaupun hanya dua hari bersama, Akanni mampu membentuk keserasian dalam pasukan. Jadi, ketiadaan Tchetche tidak merunsingkan saya.

“Bruno (Junichi Suzuki) juga sudah faham corak TFC dan fokus kami kini ialah untuk menghapuskan badi dengan Kedah,” ujarnya.

Sambil mengakui kualiti pasukan Kedah yang semakin baik, jurulatih berpengalaman itu turut menuntut anak-anak buahnya mempamerkan aksi berdisiplin selain kerjasama berpasukan yang jitu.

“Kami tidak boleh sekadar menjadi pemerhati di atas padang. Beraksi di tempat sendiri, sudah tentu TFC akan beraksi dengan agresif,” jelas Irfan lagi.

Berada di tangga ketiga dengan 11 mata, kemenangan malam esok akan mendekatkan TFC dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT), yang hanya akan beraksi pada Sabtu ini.