Jurulatih Terengganu FC (TFC) , Irfan Bakti Abu Salim, menyelar sikap pemainnya yang terlalu menghormati pasukan tuan rumah, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai punca utama mereka gagal membawa pulang sebarang mata dari Larkin.

Marcos Antonio dan Gonzalo Cabrera menjadi wira JDT dalam memastikan kemenangan 2-0 ke atas TFC dalam aksi Liga Super, semalam.

Kecewa dengan kekalahan itu, Irfan menganggap anak buahnya mampu bersaing dengan JDT tetapi sikap terlalu menghormati lawan menyaksikan mereka pulang dengan tangan kosong.

"Kami gagal mengawal permainan di bahagian tengah dan pemain-pemain memilih untuk menyaksikan perlawanan daripada mengambil bahagian," katanya.

Kehampaan Irfan turut terarah kepada kegagalan anak buahnya menyempurnakan kelebihan beraksi dengan 11 pemain selepas pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abd Radzak, diperintah keluar padang.

"Permainan TFC tidak mampu untuk memberikan saingan kepada JDT yang hanya beraksi dengan 10 pemain. Kami berharap dapat memperbaiki kelemahan ini untuk aksi akan datang," ujarnya.

Imej: Asiana