Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, memuji aksi yang dipamerkan oleh pasukannya ketika melakar kemenangan 2-1 ke Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Selepas empat perlawanan, TFC melakar dua kemenangan dan dua seri, yang menyaksikan mereka mengumpul lapan mata dan mendahului saingan Liga Super.

Mencipta kemenangan bergaya ke atas The Red Giants 4-1 di Kuala Terengganu sebelum ini, TFC memiliki semangat tinggi untuk terus mencipta kemenangan.

Ashari Samsudin membuka jaringan pada minit ke-14 sebelum Mohd Fakhrul Aiman Sidid menyamakan kedudukan 15 minit sebelum perlawanan berakhir. Lee Jun-hyeob tampil sebagai wira TFC dengan menampan masuk hantaran silang Fitri Omar pada minit ke-84.

Teruja dengan kemenangan yang diraih, Irfan menyifatkan semangat untuk mencipta kemenangan yang meletakkan mereka selaku peneraju Liga Super.

"Apabila Negeri Sembilan menyamakan kedudukan, saya memberitahu pemain agar jangan berputus asa dengan karakter kamu sebagai seorang pemain profesional. Pada awalnya lagi saya mahukan tiga mata dan mereka mengotakan apa yang saya cakap," kata Irfan.

Hanya satu kemenangan diraih Negeri Sembilan selepas empat perlawanan, dengan pengendalinya, Jorg Steinebrunner mengakui TFC memiliki jentera serangan yang berkualiti.

"Kami melakukan beberapa kesilapan dan memberikan gol buat pasukan lawan. Kami menyedari bahawa serangan balas TFC amat berbisa," kata Steinebrunner.