Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, lega tuntutannya terhadap anak buahnya untuk mempamer aksi lebih agresif dilaksanakan dengan sempurna yang secara tidak langsung membawa kepada kutipan mata penuh, malam tadi.

'Bermain lebih agresif'. Itu amanat Irfan sebagai syarat Terengganu tidak terus kecundang di laman sendiri dalam saingan musim ini.

Hakikatnya, rekod Sang Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak cemerlang jika dibandingkan dengan aksi mereka di laman lawan.

Irfan enggan situasi itu berlarutan dengan berkata: "Semasa taklimat tadi, saya mengingatkan pemain bahawa kami mencatat tiga kemenangan di luar, tetapi kami hanya mampu menang sekali di tempat sendiri. Sepatutnya catatan itu terbalik.

"Lantaran itu, saya meminta pemain beraksi lebih agresif sejak perlawanan menentang Pahang tempoh hari."

Bagaimanapun, kegembiraan Terengganu terpaksa dibayar dengan penggantungan tonggak utama, Lee Tuck, yang mengumpul kad kuning sehingga menjejaskan penampilannya bertemu Melaka United selepas ini.

"Kami akan merinduinya. Bagaimanapun, pemain-pemain lain perlu bekerja kuat dan menunjukkan keupayaan mereka," kata Irfan.